1. Amaun pembiayaan akan diputuskan dalam Jawatankuasa AAIBE/AAIBES berdasarkan anggaran kos projek dan perbelanjaan lain yang berkaitan. Dalam kes di mana pembiayaan yang diluluskan tidak meliputi keseluruhan kos projek, sumber pembiayaan tambahan perlu diperolehi sendiri oleh pemohon dana.
2. Pembiayaan kos kakitangan tetap tidak dibenarkan.
3. Projek bermula dari tarikh yang telah ditetapkan dalam surat tawaran.
4. Penerima biaya perlu memeterai perjanjian dengan Kementerian setelah menerima surat tawaran daripada Kementerian. Penerima biaya hendaklah mengemukakan draf perjanjian dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerima biaya menandatangani surat penerimaan. Draf perjanjian yang telah disemak dan dipersetujui oleh kedua-dua penerima biaya dan Kerajaan diwakili oleh Kementerian, hendaklah dimeterai dalam tempoh 120 hari dari tarikh surat penerimaan ditandatangani oleh penerima biaya.
5. Segala kos penyediaan dokumen kontrak perjanjian hendaklah ditanggung oleh Penerima Biaya. Sebarang perubahan kepada klausa dalam template kontrak perlu dirujuk dahulu kepada Unit AAIBE.
6. Penerima biaya diwajibkan membuka satu akaun bank khas untuk tujuan penyaluran pembiayaan AAIBE. Ia adalah bagi memastikan akauntabiliti pengurusan kewangan program/projek terjamin, mengelakkan kesulitan daripada mendapatkan semula amaun baki dana Akaun Amanah sekiranya Penerima Biaya menghadapi masalah berkaitan dengan pelaksanaan program/projek serta mengelakkan percampuran wang daripada sumber lain yang diurus oleh organisasi penerima biaya.
7. Pembayaran akan dibuat kepada penerima biaya berdasarkan syarat-syarat yang terdapat di dalam dokumen perjanjian. Tuntutan bayaran bersama-sama dokumen sokongan yang lengkap perlulah dikemukakan kepada Unit AAIBE. Semua bayaran dibuat berdasarkan kepada kaedah reimbursable. Penerima biaya perlu berdaftar dengan e-Vendor atau e-Perolehan Kerajaan.
8. Penerima biaya perlu mengemukakan salinan laporan kemajuan program/projek kepada Unit AAIBE sekurang-kurangnya sebulan sebelum pembentangan tuntutan milestone berkaitan menggunakan template yang akan diberikan oleh AAIBE. Sekiranya laporan kemajuan tidak dapat dikemukakan dalam tempoh tersebut, justifikasi bertulis perlu dikemukakan kepada Unit AAIBE.
9. Penerima biaya perlu mengemukakan laporan akhir, laporan eksekutif dan laporan kewangan yang diaudit oleh juruaudit bertauliah kepada Urus Setia AAIBE dalam tempoh enam (6) bulan dari tarikh siap program/projek. Sekiranya tempoh masa tambahan diperlukan, penerima biaya perlu mengemukakan permohonan bertulis untuk pertimbangan JK Pemantauan Projek AAIBE dua (2) bulan sebelum tarikh projek siap. Laporan eksekutif juga hendaklah mengandungi laporan outcome program/projek yang dilaksanakan dan perancangan masa hadapan (way foward) hasil projek.
10. Semua pembelian aset (perkakasan/peralatan/peranti) yang diluluskan dalam pelaksanaan program/projek perlu direkodkan dan dilabelkan dengan nama program/projek untuk tujuan pemantauan. Sesalinan rekod dan lokasi semua aset yang terlibat hendaklah dinyatakan dalam laporan akhir. Semua aset terlibat adalah dimiliki oleh penerima biaya termasuk penyelenggaraan dan perkara-perkara lain yang berkaitan pelaksanaan projek seperti repairing / dismantling / removing / restoring cost selepas tamat tempoh kontrak perjanjian dan program/projek selesai dilaksanakan.
11. Hasil pelaksanaan projek pembiayaan AAIBE (laporan, data dan sebagainya) hendaklah dibenarkan digunakan oleh Kementerian tanpa halangan atau apa-apa bayaran. Manakala pemain industri bekalan elektrik Negara juga boleh menggunakannya dengan kelulusan Kementerian.
12. Penerima biaya hendaklah memaklumkan Unit AAIBE secara bertulis kelulusan permohonan harta intelek yang diperoleh daripada pelaksanaan projek. Hak harta intelek (Intellectual Property rights) yang diperoleh adalah dimiliki oleh penerima biaya dan semua kos berkaitan permohonan harta intelek adalah dibiayai sepenuhnya oleh penerima biaya. Kementerian juga hendaklah dibenarkan untuk menggunakan IP tersebut tanpa halangan dan apa-apa bayaran. Pemain industri juga boleh menggunakannya dengan kelulusan Kementerian.
13. Unit AAIBE atau wakilnya berhak membuat lawatan berkala bagi tujuan pemantauan program/projek yang dibiayai oleh dana AAIBE. Penerima biaya bertanggungjawab untuk mengaturkan lawatan tersebut dan melaporkan segala kemajuan projek termasuk kedudukan aset, fail serta maklumat berkaitan semasa lawatan.
14. Penerima biaya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan projek. Sekiranya projek didapati gagal mencapai objektif yang ditetapkan, kerajaan berhak menamatkan kontrak program/projek, menuntut kembali baki pembiayaan yang telah dibayar kepada penerima biaya dan tindakan perundangan boleh diambil oleh Kerajaan ke atas penerima biaya.
15. Pelupusan hasil projek seperti prototaip adalah dibawah tanggungjawab penerima biaya namun harus dimaklumkan kepada Kementerian terlebih dahulu.
16. Baki pembiayaan perlu dipulangkan selepas Laporan Kewangan diaudit dilaksanakan sekiranya ada.
17. Perubahan skop program/projek dan kos program/projek tidak boleh dipinda secara bersendirian oleh pihak penerima biaya kecuali mendapat kelulusan Kementerian.
18. Pemilik projek adalah digalakkan untuk menerbitkan keputusan/faedah projek-projek mereka dalam penerbitan tempatan dan luar negara. Walau bagaimanapun, untuk menjaga kepentingan negara, perkara ini hendaklah dimaklumkan kepada Unit AAIBE dan sesalinan penerbitan hendaklah dikemukakan untuk simpanan Unit AAIBE.
19. Pengiktirafan perlu diberikan kepada AAIBE di atas pembiayaan projek dan dinyatakan samada dalam bentuk fizikal (papan tanda) atau secara bertulis di dalam sebarang penerbitan (media cetak, media elektronik dan sebagainya) seperti berikut:
(Nama Projek) ini dibiayai oleh
Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE)
diikuti dengan logo Kementerian dan logo organisasi penerima biaya.
|
20. Unit AAIBE boleh menambah atau meminda terma dan syarat-syarat pembiayaan dari semasa ke semasa sekiranya perlu.
21. Segala keputusan Jawatankuasa AAIBE adalah muktamad.